Wawasan Rx8

Rx8 IIUM
'Rx', satu gelaran sinonim yang diberikan kepada setiap batch untuk ijazah farmasi di UIAM Kuantan. Tuntas, panggilan 'Rx8' yang sudah sebati dengan  batch ke-8 kemasukan 2009 ini menjadi kebanggaan kami sebagai batch Rx8. 

Menyingkap tirai sejarah Rx8 yang bermula dengan 103 orang mahasiswa pada Julai 2009, kini, tetap berdiri kukuh dengan jumlah 105 orang mahasiswa pada Julai 2010. Dengan bilangan ahli keluarga yang ramai, Rx8 penuh dengan ragam dan lagat yang pelbagai, memeriahkan suasana, serta saling melengkapi antara satu sama lain. 

Gagasan Kasih Sayang : Membentuk Mukmin Realiti
Rx8 bernaung di bawah satu gagasan, iaitu 'Gagasan Kasih Sayang', dengan harapan dan doa ukhuwwah sesama ahli keluarga Rx8 sentiasa terjalin kukuh dalam ikatan kasih dan sayang. Pentingnya untuk berpegang pada gagasan ini adalah kerana gagasan merupakan konsep dasar ataupun falsafah (dasar pemikiran) yang menjadi asas dalam sesebuah organisasi. Atas tujuan tersebut, 'Gagasan kasih sayang' akan menjadi simbologi Rx8 sebagai batch yang aman dan bekerjasama. 

Tahun pertama (2009/2010), Rx8 mengetengahkan motto 'Membina Personaliti Kendiri', iaitu menonjolkan satu identiti tersendiri yang berbeza dengan batch-batch lain, sebagai satu pembaharuan identiti dan personaliti, tidak kira dari segi penampilan, aktiviti mahupun dalam  bidang kepimpinan. Hal ini bertujuan untuk menonjolkan kreativiti Rx8 sebagai batch baru yang masih lagi 'terpendam' pelbagai kebolehan dalam diri setiap individu, juga sebagai sebuah organisasi. 

Anjakan paradigma, menyaksikan perubahan takuk kepimpinan Rx8 yang silih berganti, membawa konsep baru yang mana masih bernaung di bawah 'Gagasan Kasih Sayang', dengan motto: Menjana Muslim Bestari. Motto ini merupakan susulan dari motto pada tahun pertama, di mana Rx8 telahpun menonjolkan keunikan identiti pada umum. Sebagai susulan, pada tahun kedua Rx8 memperbaiki konsep 'Islam' dalam setiap tindakan atau aktiviti yang bakal dijalankan, masih dengan keunikan tersendiri. Konsep 'MuslimBestari' ini dibawa memandangkan tahap iman setiap individu itu berbeza, oleh itu, kita mulakan dengan memperbaiki asas-asas islam dalam diri setiap individu, yang mana secara tidak langsung akan turut memberi impak positif kepada iman kita, inshaAllah. 

Era langit terbuka, menyingkap tirai evolusi dunia dalam dunia gelombang digital. Turut menyaksikan aliran kelompok insan-insan yang hanyut ditelan arus deras perubahan zaman. Tuntas, Rx8 turut serta dalam revolusi tersebut dengan memperbaharui konsep untuk tahun ke-3 kepada Gagasan Kasih Sayang: Membentuk Mukmin Realiti. Konsep yang menjadi kesinambungan kepada konsep ketika tahun ke-2 ini menumpukan aspek iman sebagai sasaran revolusi, setelah memutihkan 'Islam' dalam diri setiap individu pada tahun ke-2. Sasaran mukmin yang ingin dibentuk bukanlah sekadar mukmin yang hanya berada di dunia realiti masa kini, tetapi sebagai insan yang dapat memahami apakah sebenarnya realiti mukmin yang sebenar. Tidak kira dari segi menyediakan diri dengan pencapaian akademik yang kukuh, professionalisme melalui ciri-ciri yang diterap dari Al-Quran dan As-Sunnah serta menyediakan diri seluruh warga Rx8 sebagai ahli farmasi yang ‘concern’ dan cakna ummah. 

MISI
'Achieving Barakah'. Misi utama Rx8 sebagai seorang pelajar, mahupun sebagai seorang anak, abang, kakak, adik, suami, isteri, ibu, bapa, atau secara dasarnya sebagai seorang hamba Allah, sudah tentu untuk mencapai keredhaan Allah dalam setiap perkara yang dilakukan sepanjang hayat. Dalam hal ini, Rx8 akan lebih menumpukan isu 'Barakah' sebagai seorang pelajar farmasi yang bakal menuntut di kampus UIAM Kuantan ini dalam tempoh 4 tahun, satu jangka masa yang tidak begitu lama dan tidak begitu singkat. Misi ini bertujuan memastikan setiap ahli Rx8 memperoleh ilmu yang menjadi bekalan hidup hingga ke akhir hayat, sebagai ilmu yang diberkati, bukan ilmu perubatan farmasi semata-mata, tetapi ilmu-ilmu kehidupan juga perlu sentiasa diberkati oleh guru yang mengajar, justeru membawa kepada keredhaan Allah, inshaAllah. 

WAWASAN RX8
Wawasan Rx8 akan mengetengahkan 3 aspek utama iaitu; akademik, kerohanian dan kebajikan. 3 aspek ini akan sentiasa menjadi tumpuan dan matlamat keluarga Rx8. 

1. Akademik & professionalisme -
Sentiasa memastikan kestabilan akademik setiap individu, serta saling membantu untuk kesejahteraan dalam pencapaian pelajaran keluarga Rx8. Di samping itu, memastikan unsur-unsur akademik ataupun ilmu sentiasa diserap ke dalam aktiviti-aktiviti Rx8. Sebagai satu wawasan, kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk bersama-sama menamatkan pengajian dengan keputusan yang terbaik dan cemerlang untuk Rx8 umunya, dan  untuk setiap individu khususnya. Sentiasa menjadikam GPA dan CGPA 4.00 sebagai sasaran, demi kejayaan sekarang dan masa depan. Tidak diketepikan juga unsur-unsur professionalisme sebagai bakal 'pharmacist' yang perlu diterap dengan nilai-nilai estetika yang tinggi. 

2. Kerohanian
'Islamic input' sentiasa bertambah dalam keluarga Rx8 sebagai santapan rohani, bagi mendidik jiwa dan melembutkan hati dengan nilai kasih sayang. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud; "Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang." perwatakan, komunikasi, penampilan serta dalam setiap perkara, berusaha untuk perolehi sesuatu untuk pembaikan rohani, sebagai matlamat yang ingin dicapai dalam hidup.

3. Kebajikan-
Memastikan kebajikan Rx8 sentiasa terjamin, sama ada secara kumpulan atau individu, selagi mana tidak menyentuh sensitiviti peribadi. Sebagai sebuah organisasi yang berasaskan konsep kekeluargaan, setiap ahli perlulah saling mengenali ahli-ahli yang lain, supaya lebih mudah untuk memahami keadaan ahli tersebut dalam apa jua situasi. Secara tidak langsung, menghilangkan jurang perkauman, mahupun jurang pemikiran yang terdapat dalam diri setiap individu, sebagaimana yang telah ditulis di atas, 105 orang, 105 ragam, 105 falsafah pemikiran. keserasian pemikiran dapat membina perpaduan Rx8, serta memupuk ukhuwwah dalam keluarga Rx8.

Author: Muhammad As-Syafiq (Batch leader)